Jam 5.15 petang semalam, saya tiba di Sime Darby Medical Center, di Subang Jaya, Selangor. Sebagai blogger, saya membawa bersama kamera digital ke lokasi.
Berikutan tidak melihat notis atau papan tanda dilarang merakamkan gambar, dalam perjalanan ke North Tower, saya rekodkan gambar berikut.
Hampir jam 5.30 petang, saya tiba di luar Neonatal Intensive Care Unit, NICU. Ketika itu ayah Faris, Shamrulismawi IsmaiL, 38 tahun, sedang berbual bersama beberapa penduduk taman tempat tinggalnya, hadir untuk ziarah.
Syukur, sewaktu mendepani saat getir, saudara dan rakan datang meluahkan rasa simpati serta menghulurkan bantuan.
Tepat jam 5.30 petang, Sham menjemput saya masuk ke NICU untuk melihat keadaan Faris di dalam bilik berdinding cermin.
Waktu itu, hanya ibu Faris, kakitangan Celcom, Zuraine Mohamad dan jururawat bersama anak kecil berusia 6 tahun sedang bertarung dengan nyawanya itu.
"Dia boleh bernafas tetapi bergantung seratus-peratus kepada bekalan oksigen. Sejak sejam tadi, apabila dos ubat tidur dikurangkan, Faris mampu membuka matanya," ujar Sham kepada saya.
Dari jauh saya melihat dada kecil Faris turun naik, kencang. Matanya terbuka luas seakan mampu melihat kelibat ibunya setia duduk dan berdiri di sebelah anak bongsu itu.
Sebelum melangkah masuk ke unit terbabit, saya melihat beberapa notis di tampal di dinding berhampiran pintu masuk.
Hanya kelihatan notis larangan merokok dan menggunakan telefon bimbit.
Bagi saya, hanya orang tidak waras sahaja tergamak merokok di dalam bangunan hospital. Telefon bimbit? Jika diperhatikan dikebanyakkan hospital, sebilangan kakitangan pusat perubatan juga didapati menggunakan alat komunikasi itu. Justeru tidak hairan jika ahli keluarga pesakit dan pelawat sering dilihat berhubung menggunakan telefon bimbit.
Jika merakam gambar tidak dibenarkan dan dianggap hal teramat penting, pasti notis larangan penggunaan kamera ditampal di dinding hospital secara JELAS, sama seperti notis larangan lain.
Di lokasi itu tidak pula kelihatan notis larangan terbabit.
Justeru saya kemudian merakamkan gambar terakhir, sebelum masuk melihat anak kecil itu dari jarak dekat.
Saya memasukkan kamera ke dalam poket sebelum dihampiri seorang daripada jururawat bertugas.
"Di sini tidak boleh mengambil gambar," ujarnya secara hormat.
Selepas memakai topeng muka dan membasuh tangan, saya masuk menziarahi Faris.
"Faris, Faris, tengok ini, uncle datang," bisik Zuraine ke telinga anaknya berselimut.
Mendengar kata-kata itu, airmata saya spontan mengalir membasahi pipi. Saya perhatikan mata Faris, terbuka luas tetapi tidak berkelip. Sesekali kedengaran bunyi rengekan kurang jelas keluar dari mulutnya disumbat tiub.
Barangkali Faris ingin memberitahu kami, betapa peritnya pengalaman ditempuh itu. Tambahan pula, saya difahamkan, paru parunya kurang berfungsi.
"Perut dia membesar mungkin sebab hati dia bengkak," ujar Zuraine sambil mengusap perut anaknya.
Sila baca nukilan saya sebelum ini untuk mengetahui fakta berhubung Faris, klik
di sini.
Tabahnya hati ibu itu.
Perjuangannya dan suami masih belum selesai, nasib anak kesayangan mereka masih belum diketahui. Namun saya percaya pakar perubatan dan kakitangan hospital swasta ternama itu sentiasa bertungkus-lumus, cuba memberikan rawatan terbaik untuk Faris.
Faris mula dimasukkan ke hospital terbabit sejak 19 hari lalu kerana demam. Empat hari kemudian dia disahkan oleh doktor mengidap HLH, bahasa mudahnya, barah darah.
Saya kemudian memegang kedua kaki Faris, terasa panas namun tidak bergerak.
Saya melihat airmata Zuraine bergenang sewaktu menyentuh kepala Faris. Berulang kali dia mengusap kepala anaknya, zuriat sebelum ini normal bergerak seperti anak lain. Hanya iman dan kepercayaan, Allah penentu takdir, hidup mati manusia, dia masih mampu berdiri dan tanpa jemu membisikkan kata kata semangat ke telinga Faris.
Untuk rekod, saya tidak merakamkan gambar sewaktu berada di dalam bilik bersama Faris.
Tiba-tiba, di luar, saya terlihat kelibat 2 pengawal keselamatan berbual bersama ayah Faris. Lalu saya bergerak keluar.
"Di sini tidak boleh merakamkan gambar," kata pegawai pengawal keselamatan.
Saya hanya sekadar bertanya.
"Saya tidak merakamkan gambar di dalam tetapi kalau ada peraturan atau undang-undang tidak membenarkan gambar Faris dirakamkan dari luar, mungkin encik boleh tunjukkan," ujar saya.
Barangkali bersimpati melihat saya masih bertopeng muka, kedua pengawal itu kemudian pantas beredar. Saya kemudian masuk semula ke bilik. Saya difahamkan, bil rawatan Faris kini mencecah RM75,000 sedangkan insuran ibu dan ayahnya berjumlah kira-kira RM40,000 sahaja.
Dua gambar saya rakam itu untuk dikongsikan bersama semua pembaca blog ini.
Fakta, saya tidak berada di hospital itu atas kapasiti sebagai wartawan tetapi sebagai sahabat dan blogger. Jika membuat liputan untuk stesyen televisyen, saya mempunyai jurukamera sendiri, dia tidak menggunakan kamera digital tetapi kamera DVC Pro atau Mini DV, merakamkan video, bukan gambar pegun.
"Polisi hospital ini tidak membenarkan gambar pesakit dirakamkan, untuk menjaga privacy pesakit. Kita memang ada surat pekeliling dikeluarkan oleh Pengarah hospital," ujar jururawat saya dekati.
"Kalau benar begitu, mengapa polisi itu tidak dipamerkan? Supaya pelawat dan keluarga pesakit maklum? Kalau boleh saya ingin melihat polisi itu dan sekaligus mengetahui apakah hukumannya jika merakamkan gambar di hospital," balas saya.
Dia kemudian berjanji untuk menunjukkan kepada saya surat pekeliling, polisi dalaman didakwa wujud. Namun selepas sejam berdiri di luar unit terbabit, tiada pula kakitangan hospital menemui saya seperti dijanjikan.
Jika isu
privacy dibangkitkan, dia harus tahu, saya hanya merakamkan gambar Faris, bukan pesakit lain. Tambahan pula, rakaman itu dibenarkan oleh ayah pesakit justeru tidak timbul soal
privacy. Sebelum ini semua gambar dimuatkan di blog ini dihantar oleh Sham melalui MMS kepada saya.
"Saya pun hairan juga, kata ada peraturan dilarang merakamkan gambar di hospital tetapi tiada pula kelihatan notis larangan. Hemat saya, setiap peraturan harus dimaklumkan secara jelas kepada pelanggan hospital," celah Baharuddin Zainal Abidin, 43 tahun.
Pekerja Pos Malaysia, kini menetap di Klang, Selangor itu, rakan Zuraine di kampung sewaktu kecil.
"Mereka mungkin tidak faham dan saya tidak diberikan peluang untuk menjelaskan fakta. Gambar Faris digunakan untuk dimuatkan di blog, agar lebih ramai pembaca budiman dapat membantu meringankan bebanan kos ditanggung oleh keluarga Faris," ujar saya.
Sham mendengar perbualan kami.
"Bukan apa Sham, dengan gambar itu kita mampu berkongsi perkembangan terkini Faris. Berbekalkan fakta, pembaca blog saya dan masyarakat, InsyaAllah, tentunya tanpa keraguan akan terus menghulurkan sumbangan," jelas saya.
Sham memahami tuntutan itu.
"Berikutan ramai orang menyumbang, Maybank pada awalnya telah menyekat akaun pertama saya, kerana banyak transaksi. Barangkali bimbang berlaku kes penipuan tetapi setelah diperjelaskan, kini akaun terbabit diaktifkan semula. Kalau ingin menghulurkan bantuan, mohon gunakan akaun Maybank saya, 1140-1115-2218 atau 1628-5200-2738," katanya.
Setakat ini, dilapor RM16,800 berjaya dikumpulkan. Sham dan isteri memerlukan lebih RM30,000 untuk menampung bil hospital Faris selama 19 hari.
"Sampaikan ucapan terima kasih saya kepada semua mereka membantu, hanya Allah mampu membalas jasa baik mereka. Mohon doakan bersama, agar Faris sembuh seperti biasa," pinta Sham.
Berikut informasi dicatatkan oleh ayah Faris seperti dilaporkan di laman
Facebooknya.
'Walaupun doktor kata keadaan Faris masih tak byk berubah & paru2 nya masih lagi kritikal namun saya bersyukur kepada Allah kerana masih boleh berinteraksi bersama anak saya Faris....
Selepas saya bancuh susunya & beri pada nurse utk dimasukkan kedalam tiub utk faris, dia membukakan matanya... Kemudian saya pun cuba berinteraksi ngannya
Ayah : Farisss, faris nampak ayah tak?
Faris : *angguk (walaupun terlalu lemah anggukkan dia)
Ayah : Faris rindu ayah dgn ibu?...
Faris : *angguk
Ayah : Faris sakit tak?
Faris : *diam
Ayah : nanti nurse bagi susu supaya faris kuat & sihat ok?
Faris : *angguk
Ayah : ayah tunggu kat luar dulu ye? Nanti nurse bg susu, lap badan & tukar pampers tau.. ayah datang balik nanti. Kejab je ok?
Faris : *diam
Alhamdulillah, faris tunjuk reaksi positif walaupun doktor kata keadaan dia masih membimbangkan.... Bersyukur sgt2 kepada Allah bila dpt berkomunikasi dgn Faris.....
Mohon rakan2 semoga terus menerus mendoakan semoga Faris cepat sembuh'